Friday, June 29, 2007


Tribute untuk Seorang Jaidi Sahar

Pagi ini terasa sangat sayu. Pagi ini bagai semua turut berduka cita. Kelam dalam kesyahduan dan rasa kaget, pemergiannya sama sekali tidak disangka.

Baru semalam kami bertepuk tampar bergurau senda, baru semalam dia mengenyit mata kepada seorang teman, baru semalam dia memberi lambaian .. namun semalam juga dia berkata, dia akan pergi meninggalkan kami semua.

Apa yang dikata terkota pagi ini.

Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dengan pen ditangan, sedang mengerjakan storyline untuk assignmentnya ke Balkan pada hujung July nanti.

Aku mengenalinya melalui kaca televisyen. Ketika itu dia seorang pembaca berita sukan dan adakalanya menjadi pembaca ramalan cuaca.

Tahun demi tahun berlalu, bila aku mula terlibat dengan Edisi Siasat sebagai stringer, dia merupakan antara wartawan yang amat aku kagumi kerana keberaniannya membongkar isu yang jarang dapat dibongkar oleh wartwan lain di stesen terbabit.

Komited terhadap kerja ... walaupun dalam deadline yang sangat ketat.

Tidak sampai sebulan setelah aku menjadi staff ntv7 - dia mengambil keputusan untuk berhenti. Aku tidak pernah sempat bertembung muka dengannya. Tapi nama Jaidi Sahar dan Edisi Siasat sangat sinonim hinggakan sering dihambur pujian oleh Penerbit Edisi Siasat ketika itu, Zainal Rashid Ahmad.

Tahun ini .... setelah 4 tahun tidak pernah terdengar cerita tentangnya .... dia datang bertemu Zainal. Datang sebagai Jaidi Sahar yang berbeza. Yang positif tentunya.

Dan buat pertama kalinya, aku dapat betemu dengan lagenda Edisi Siasat. Orang yang sudah terlalu lama ingin aku temui. Dia akhirnya berkerja di FM sebagai Head of Regional Content Development. Juga merangkap sebagai Penerbit dan Presenter Atlas Nusantara. Dan presenter untuk Suatu Masa dan Expose.

Aku tidak terlalu rapat dengannya - tetapi bila setiap kai bertemu dan berbual dengannya - hati terasa ceria. Apatah lagi mendengar suaranya yang begitu 'lelaki'.

Kini ... tiada lagi kenyit matanya, tiada lagi sapaan mesranya, tiada lagi usikan dan gurauannya, yang kami ada - hanya memori bersama dengannya.

Dia disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung. Begitu fatal, sehingga tidak ada siapa yang tahu akan kehilangannya. Dengan satu batang pen terdakap rangkulan jemari .... dia pergi untuk selama-lamanya.

Ketika entry ini ditulis, jenazah Jaidi Sahar sedang dikebumikan di kawasan perkuburan Batu 5, Jalan Ipoh.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Semoga dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya. Semoga dia beroleh kesejahteraan di alam sana.

Selamat jalan abang Jaidi. Senyum mu akan selalu terpatri dalam ingatan ku.